MAJLIS PERASMIAN PUSAT PERUBATAN SUKAN NEGARA

KUALA LUMPUR, 3 JULAI 2019 – Institut Sukan Negara (ISN) terus mengorak langkah memperkembangkan perkhidmatannya dengan pelancaran Pusat Perubatan Sukan Negara (PPSN). Majlis pelancaran PPSN dirasmikan oleh Pengerusi ISN, YBhg. Prof Dato’ Dr Rahmat Mohamad di Ibu Pejabat ISN Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Untuk makluman, PPSN adalah sayap perkhidmatan pesakit berbayar Bahagian Perubatan Sukan ISN, yang telah mendapat kelulusan berlesen daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menyedia dan mengendali Pusat Jagaan Ambulatori Swasta (yang dikenali sebagai PPSN) melalui Akta Kemudahan dan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).
PENUBUHAN PPSN.

Penubuhan PPSN adalah merupakan antara inisiatif penjanaan pendapatan di bawah pengkomersilan ISN. Usaha ini juga adalah sejajar dengan saranan Kerajaan supaya agensi Kerajaan mengkomersilkan produk dan perkhidmatan mereka yang berpotensi. Melalui penubuhan PPSN ini juga, ISN dapat merakyatkan perkhidmatannya dengan membuka peluang kepada orang ramai mendapatkan perkhidmatan perubatan sukan yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa.

Adalah diharapkan dengan adanya PPSN, ISN dapat:

  1. Mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan bagi menjalankan operasinya.
  2. Menambahbaik peluang kerjaya buat anggota ISN.
  3. Meningkatkan motivasi dan mutu perkhidmatan anggota ISN.
  4. Memastikan kelestarian ISN pada jangka masa panjang.

PERKHIDMATAN PPSN

Secara dasarnya, PPSN menawarkan 7 jenis perkhidmatan perubatan sukan utama antaranya:

  1. Klinik Pakar Perubatan Sukan.
  2. Fisioterapi & Rehabilitasi
  3. Urutan Sukan & Pemulihan.
  4. Rujukan Kepakaran.
  5. Persediaan & Penjagaan Atlet/Pasukan.
  6. Bekalan Ubatan & Peralatan.
  7. Liputan Perubatan Kejohanan.

Jika sebelum ini kemudahan di ISN hanya dinikmati oleh atlet bertaraf elit sahaja, kini melalui PPSN, perkhidmatan ini turut ditawarkan kepada semua. PPSN telah menyenaraikan 15 kategori atlet dan 13 kategori awam yang berpeluang untuk mendapatkan perkhidmatan di PPSN.
Antaranya termasuk atlet amatur, persatuan, NGO dan badan-badan sukan lain, weekend warrior, penggiat sukan negara hinggalah masyarakat awam yang mengalami kecederaan sukan dan muskuloskeletal.

ATLET NEGARA KEUTAMAAN ISN

ISN juga ingin menegaskan yang keutamaan perkhidmatan kepada atlet negara dalam program atlet di bawah Majlis Sukan Negara masih menjadi agenda utama perkhidmatan di ISN. Melalui PPSN, satu garis panduan pelaksanaan PPSN telah pun diwujudkan bagi memastikan operasi PPSN berjalan lancar dan mengambil kira kepentingan atlet negara.
Antara lain, keutamaan khas dalam slot/sesi rawatan termasuk pemeriksaan doktor, rawatan fisioterapi dan urutan kepada atlet dalam program telah dikhaskan. Begitu juga dengan keperluan atlet bersama staf perubatan semasa bertanding di dalam atau keluar negara akan terus di utamakan dalam operasi PPSN.
Walaupun begitu, sekiranya terdapat keperluan tambahan kepakaran di PPSN disebabkan permintaan dari pesakit yang tinggi, PPSN telah pun mempunyai perancangan untuk memenuhi keperluan tersebut.

KELEBIHAN PPSN

PPSN mempunyai pengalaman yang luas dan mendalam dalam memberikan rawatan dan perkhidmatan berkaitan kecederaan dan rehabilitasi sukan berprestasi tinggi.
Ini kerana kelebihan anggota ISN bertugas dan memberi perkhidmatan kepada atlet negara, merawat kecederaan yang memerlukan proses pemulihan yang pantas, memastikan atlet pulih dan selamat untuk bertanding semula dan mengekalkan tahap kecergasan dan prestasi atlet di tahap terbaik.

Selain itu, PPSN turut menawarkan kepakaran sains sukan seperti:

  1. Fisiologi senam yang bertujuan menguji tahap kecergasan dan prestasi spesifik.
  2. Ujian biomekanik dan pergerakan sukan yang dapat mengenalpasti punca kecederaan, menambahbaik posisi pergerakan dan sebagainya.
  3. Analisis nutrisi dan pemakanan yang disesuaikan dengan keperluan atlet atau penggiat sukan beserta cadangan supplemen.
  4. Pegawai suaian fizikal yang merencana program dan senaman bersesuaian bagi atlet yang baru pulih dari kecederaan dan atlet dengan keperluan fizikal bagi sukan secara spesifik.

Dengan semua elemen ini, PPSN adalah antara pusat perubatan unik yang menawarkan perkhidmatan komprehensif terutama dalam bidang sains dan perubatan sukan.

MISI PPSN

PPSN melihat industri sukan di Malaysia semakin berkembang pesat. Semakin ramai rakyat Malaysia mulai sedar akan kepentingan bersukan untuk riadah dan juga kesihatan. Sebagai contoh penganjuran marathon, berbasikal dan aktiviti larian hampir ada pada setiap hujung minggu di seluruh negara. Begitu juga aktiviti peringkat nasional seperti Fit Malaysia dan Hari Sukan Negara.

Walaubagaimanapun, perkhidmatan berkaitan perubatan dan penjagaan sukan terutamanya apabila mereka mengalami kecederaan semasa bersukan, kaedah pencegahan kecederaan, rawatan pemulihan dan kemudahan ujian kecergasan apabila mereka lebih serius dalàm sesuatu sukan masih agak kurang dan berpotensi tinggi untuk diperkembangkan.
Oleh itu, PPSN berhasrat untuk mengembangkan perkhidmatan ini di peringkat negeri bagi memberi peluang kepada masyarakat merasai perkhidmatan prestasi setaraf atlet. Ini bersesuaian dengan tagline PPSN iaitu ” Athlete’s Performance Care . For You”.
Di samping itu, PPSN berhasrat menambah kemudahan sedia ada dan mempertingkatkan perkhidmatan kepakaran seperti dewan bedah dan perkhidmatan rawatan pesakit dalam. Inisiatif kolaborasi dalam perkhidmatan perubatan sukan juga sedang dirundingkan bersama rakan-rakan strategik dalam industri.

Dalam pada itu, usaha sedang giat dijalankan juga untuk ISN menubuhkan sebuah Hospital sukan swasta yang serba lengkap dan bertaraf global.

Custom Gallery: images not found

#PPSN #PoweredByISN