KESELAMATAN BERSUKAN DALAM PERSEKITARAN RIBUT PETIR

photo

Bersukan dalam persekitaran luar adalah mengujakan dan memberi banyak kelebihan kepada pemain namun aktiviti ini juga mendedahkan pemain kepada ancaman persekitaran yang boleh mengganggu penglibatan fizikal serta mengancam keselamatan pemain sewaktu beraksi. Malah persekitaran yang ekstrem juga berisiko mengancam keselamatan orang ramai termasuk pegawai sukan dan penonton di lapangan.

Antara persekitaran sukan yang ekstrem dan berisiko tinggi adalah ribut petir. Malaysia merupakan negara sukan yang berada pada kelompok negara yang mempunyai taburan ribut petir tertinggi di dunia. Panahan kilat daripada ribut petir digambarkan sebagai salah satu pembunuh semulajadi terburuk yang menyebabkan banyak kecederaan dan kematian yang tidak dijangkakan di seluruh dunia. Fakta ini memerlukan setiap pihak untuk menyedari dan memahami risiko ancaman panahan kilat sewaktu ribut petir dan mengambil langkah pencegahan yang terbaik untuk melindungi keselamatan orang ramai yang bersukan.

Setiap lapangan sukan terbuka adalah terdedah kepada risiko panahan kilat. Risiko ini meningkat dengan keluasan kawasan dan peningkatan orang ramai di kawasan sukan (seperti taman, padang permainan dan stadium). Oleh itu aktiviti bersukan di kawasan terbuka perlu dijalankan dengan pengawasan yang rapi terutamanya apabila terdapat kehadiran cuaca ribut petir. Keperluan utama adalah mengesan kehadiran ancaman panahan kilat berdasarkan tanda-tanda daripada persekitaran dan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga dalam apa jua keadaan. Walaupun kejadian panahan kilat cenderung dilaporkan sewaktu permulaan ribut petir, namun terdapat juga kes-kes panahan kilat yang berlaku tanpa kehadiran hujan atau ribut petir.

Setiap pihak yang terlibat terutamanya para pemain, pegawai sukan, penganjur acara sukan dan penonton perlu mematuhi peraturan dan amalan keselamatan yang diguna pakai dalam sukan masing-masing dan yang ditetapkan di struktur lapangan sukan. Sukan luar seperti bolasepak dan ragbi mempunyai peraturan dan amalan khusus untuk menangani risiko panahan kilat sewaktu bermain. Tindakan awal yang disarankan adalah dengan mengetahui pola cuaca terkini di kawasan setempat berdasarkan maklumat yang dikeluarkan oleh jabatan kaji cuaca tempatan dan ia boleh digunakan untuk membantu mengaturkan jadual perlawanan atau menetapkan perubahan aktiviti sukan dengan selamat.

Selain daripada itu, keperluan pelan keselamatan dan arahan komunikasi yang jelas adalah sangat penting untuk menetapkan siapakah pihak yang bertanggungjawab untuk membuat keputusan muktamad bagi menghentikan atau menangguhkan acara sukan apabila cuaca persekitaran yang ekstrem dan risiko panahan kilat dikesan. Strategi intervensi dan tindakan susulan untuk mengalihkan pemain daripada persekitaran yang berisiko perlulah dirangka dan diuji sebelum acara sukan dijalankan. Strategi utama untuk mengelakkan risiko panahan kilat adalah untuk menggerakkan pemain dan orang ramai daripada lapangan terbuka ke dalam ruang yang tertutup secara teratur dan selamat.

Peraturan pencegahan panahan kilat yang disarankan dalam acara sukan di lapangan menggunakan teori alam semulajadi berdasarkan pergerakan cahaya dan bunyi yang terhasil dari kejadian kilat dan guruh. Teori kilat kepada guruh (‘flash to bang’) boleh dipraktikkan dengan mengikuti berapa lama masa yang diambil untuk bunyi guruh dapat didengari sejurus selepas cahaya kilat dilihat. Menggunakan peraturan 30/30 (‘30/30 Rules’), ruang masa yang sesuai boleh dipertimbangkan untuk menjangka jarak dan pergerakan ribut petir di lapangan sukan agar risiko panahan kilat dapat dielakkan.

Peraturan 30/30

  1. Secara teori, kelajuan bunyi (guruh) adalah dianggarkan sebanyak 0.2 batu sesaat, maka dalam 5 saat masa yang diambil antara cahaya kilat dilihat dan bunyi guruh didengari, ribut petir adalah dianggarkan berada sejauh 1 batu daripada kawasan permainan. Oleh itu anggaran jarak ribut petir boleh dikira dengan mengira masa yang diambil untuk mendengar guruh selepas cahaya kilat dilihat dan membahagikannya dengan 5.

Sebagai contoh:

Cahaya kilat dilihat pada jam 3:55 petang dan diiringi bunyi guruh selepas 28 saat kemudian. Masa kilat kepada guruh sebanyak 28 saat dibahagikan dengan 5 = 5.6 batu (9 km); jarak ribut petir. Maksud: Kejadian panahan kilat adalah dianggap dekat dan dianggarkan pada jarak 5.6 batu (9km) dari lapangan sukan.

  1. Peraturan 30/30 menetapkan pemain perlu berteduh apabila masa yang diambil daripada kilat kepada guruh adalah 30 saat atau kurang (6 batu = 10 km). Ribut petir mempunyai kecenderungan beralih arah dan boleh kembali semula ke lapangan sukan, oleh itu, ia hanya boleh dianggap selamat untuk kembali bermain di luar dalam tempoh minimum 30 minit masa selepas cahaya kilat terakhir yang dilihat atau bunyi guruh terakhir yang didengar.
  1. Penggunaan peraturan 30/30 juga boleh ditambahbaik dengan memantau data terkini berkaitan keadaan cuaca setempat dan menggunakan peralatan pengesan kilat (‘lightning detector’) yang sesuai bagi meningkatkan lagi sensitiviti pengesanan risiko panahan kilat dan melindungi keselamatan pemain sewaktu bersukan. Walaupun demikian, sekiranya risiko panahan kilat dikesan atau terdapat kesangsian dengan pergerakan ribut petir walaupun data cuaca dan pengesan kilat menunjukkan bacaan dalam lingkungan yang normal, keputusan untuk menghentikan permainan dan tindakan keselamatan yang ditetapkan perlu diambil secara muktamad.

Amalan keselamatan yang disarankan untuk mengelakkan risiko panahan kilat sewaktu bersukan di luar adalah dengan mencari lokasi selamat untuk berteduh dari ribut petir. Antara tempat-tempat yang boleh dianggap selamat adalah di dalam bangunan besar dan di dalam kenderaan yang tertutup. Manakala tempat-tempat atau situasi berisiko yang perlu dijauhi adalah kawasan yang terbuka, berdekatan dengan struktur seperti pokok atau tiang besi, di bawah pokok, berdekatan menara antena, menggunakan payung dan menggunakan telefon.

Ancaman persekitaran ribut petir dan risiko panahan kilat adalah sesuatu yang nyata dan perlu diberi perhatian oleh semua pihak sewaktu bersukan di luar. Buatlah pilihan yang bijak dalam menganjurkan acara sukan untuk memastikan kesihatan dan nyawa setiap pemain dan orang ramai terpelihara. Tanggungjawab menjaga keselamatan, kesihatan dan kebajikan pemain adalah tanggungjawab kita bersama.

 

Rujukan:

  1. World Rugby Lightning Safety Guidelines
  2. FIFA Emergency Medicine Manual 2nd Edition 2018

Disediakan oleh:

DR AZRIL SYAZWAN BIN MOHD ALI
Pakar Perubatan Sukan dan Ketua Cawangan Penjagaan Sukan
Bahagian Perubatan Sukan
Institut Sukan Negara
15 Oktober 2018

Hubungi Kami

INSTITUT SUKAN NEGARA,
Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57000 Kuala Lumpur.
Tel : +60389914400,
Faks : +60389968748,
Webmaster: [email protected]

Kemaskini Terakhir : 11 / 4 / 2018

Rakan Eksklusif ISN

-

Aplikasi Telefon Pintar

-