Fisiologi

banner

Pusat Fisiologi Senam yang ditubuhkan di Institut Sukan Negara Malaysia bertanggungjawab untuk menyediakan perkhidmatan sokongan fisiologi kepada para atlet dan jurulatih negara. Objektif utama perkhidmatan sokongan fisiologi adalah untuk membantu atlet dan jurulatih mengenalpasti keperluan fisiologi yang tertentu dalam sukan yang diceburi dan faktor-faktor yang menentukan pencapaian yang cemerlang dalam sukan tersebut.

1. Perkhidmatan Sokongan Fisiologi

Pengukuran dan penilaian fisiologi

Pusat Fisiologi Senam menyediakan pelbagai ujian fisiologi terutamanya kepada atlet yang merangkumi ujian kecergasan di padang ataupun di dalam makmal. Hasil ujian tersebut akan membantu para atlet dan jurulatih lebih memahami dan mengenalpasti keperluan fisiologi yang tertentu dalam sukan yang disertai.

Pemantauan prestasi sukan semasa latihan/pertandingan

Pusat Fisiologi Senam juga terlibat dalam pemantauan prestasi atlet semasa latihan ataupun pertandingan. Kerjasama dijalankan bersama pusat sains sukan yang lain dalam pemantauan perubahan dan adaptasi fisiologi serta tahap tekanan fisiologi ke atas atlet semasa sedang menjalani latihan/pertandingan.

Latihan tambahan untuk prestasi optima

Berdasarkan ciri-ciri fisiologi atlet serta adaptasi mereka dalam latihan dan prestasi dalam pertandingan, Pusat Fisiologi Senam dapat membantu para jurulatihm menyediakan dan mengendalikan latihan tambahan yang sesuai untuk mempertingkatkan prestasi atlet secara optima dalam persediaan mereka ke pertandingan yang penting.

Strategi permulihan yang berkesan

Pusat Fisiologi Senam mempunyai peralatan penyejukan yang dapat digunakan untuk membantu mempercepatkan proses pemulihan badan sewaktu latihan harian mahupun pertandingan yang berpanjangan. Sementara itu, Pusat Fisiologi Senam juga bertanggungjawab dalam memberi nasihat berkenaan strategi-strategi dan kaedah-kaedah yang paling berkesan untuk membantu para atlet memaksimumkan pemulihan badan dan meminimumkan kelesuan.

Ujian senaman klinikal

Ujian klinikal yang disediakan oleh Pusat Fisiologi Senam adalah penilaian terhadap “exercise-induced asthma” yang melibatkan ujian fungsi paru-paru dan ujian senaman.

2. Pendidikan Atlet dan Jurulatih

Pusat Fisiologi Senam sentiasa memberi pendidikan kepada atlet dan jurulatih dalam pelbagai topik yang berkenaan dengan fisiologi senam dan sukan. Sesi-sesi pendidikan tersebut biasanya dijalankan dalam bentuk seminar, kuliah ringkas ataupun perbincangan dalam kumpulan kecil. Kami juga sentiasa memastikan atlet dan jurulatih memperolehi maklumat yang terkini berkenaan pembangunan dalam sains sukan.

3. Penyelidikan Fisiologi Gunaan

Pusat Fisiologi Senam bergiat aktif dalam mengendalikan penyelidikan fisiologi gunaan untuk memenuhi keperluan atlet dan jurulatih dengan menyediakan maklumat yang berasaskan bukti saintifik ke atas peningkatan prestasi sukan atlet secara spesifik. Pusat ini juga berganding bahu dengan beberapa universiti dan institut sains sukan yang lain dalam membentuk budaya penyelidikan dan persepakatan yang berterusan dalam usaha menerbitkan dan membentangkan hasil kajian dalam persidangan saintifik.